27 Ogos 2017 - 12:31
Rohingya Kini Terperangkap

Kira-kira 1,000 orang etnik Islam Rohingya yang me­larikan diri daripada keganasan di Myanmar terperangkap di kawasan sempadan antara Bangladesh-Myanmar selepas mereka dilarang daripada memasuki negara ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kira-kira 1,000 orang etnik Islam Rohingya yang me­larikan diri daripada keganasan di Myanmar terperangkap di kawasan sempadan antara Bangladesh-Myanmar selepas mereka dilarang daripada memasuki negara ini.

Pasukan pengawal sempadan Bangladesh tidak lagi membenarkan kemasukan mereka ke negara ini apabila berlaku peningkatan dalam jumlah kemasukan pelarian Rohingya pada awal bulan ini selepas pertempuran baharu di barat laut Myanmar.


Sekurang-kurang­nya 3,500 pelarian etnik Rohingya dilaporkan melarikan diri ke Bangladesh sejak Myanmar meningkatkan bilangan tenteranya yang ditempatkan di Rakhine pada awal bulan ini.

Timbalan Pesuruhjaya Daerah Cox’s Bazaar, Mohammad Ali Hossain berkata, penduduk Rohingya tiba di Sungai Naf yang memisahkan Myanmar dan Bangladesh dan terperangkap di situ.

“Ramai (Rohingya) cuba memasuki negara ini, tetapi kami mempunyai dasar toleransi sifar dan tiada siapa yang dibenarkan masuk,” kata Mohammad Ali.

Sebelum ini pasukan keselamatan Bangladesh biasanya membenarkan pelarian itu masuk dan setakat ini, sebanyak 87,000 pelarian telah memasuki negara ini sejak bulan Oktober lalu.

Pertempuran baharu tercetus antara kumpulan pemisah Rohingya dengan pasukan keselamatan Myanmar menyaksikan angka kematian meningkat kepada 89 orang termasuk 77 pemberontak dan 12 lagi anggota keselamatan.

Pemimpin kebangsaan, Aung San Suu Kyi dalam pada itu mengecam serangan ke atas pa­sukan keselamatan awal pagi semalam dengan pemisah Rohingya bersenjatakan pistol, kayu dan bom buatan sendiri menyerang 30 balai polis dan pangkalan tentera.

Tentera Keselamatan Arakan Rohingya (ARSA) mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu dan mendakwa ia dilakukan sebagai langkah pertahanan daripada tentera Myanmar.

Myanmar mengisytiharkan ARSA, sebelum ini dikenali sebagai Harakah al-Yaqin sebagai pertubuhan pengganas berikutan serangan itu. Pejabat Presiden Htin Kyaw dan Ketua Tentera Min Aung Hlaing turut membincangkan usaha menghantar lebih ba­nyak pasukan keselamatan dan helikopter ke kawasan ber­kenaan.

Serangan itu telah menyaksikan pihak kerajaan memin­dahkan kakitangannya dan penduduk kampung bukan Rohingya ke kawasan selamat,

Layanan kira-kira 1.1 juta etnik Islam Rohingya dilihat menjadi cabaran terbesar Suu Kyi yang didakwa tidak bersuara mengenai minoriti yang dianiaya dan mempertahankan serangan balas kejam tentera selepas serangan Oktober lalu.

Sementara itu, pasukan pemerhati bimbang serangan terbaharu itu akan membangkitkan tindakan lebih ganas dan pergaduhan agama antara etnik Buddha dan Islam di Rakhine.

“Serangan 25 Ogos di Rakhine amat membimbangkan dan keganasan itu perlu dihentikan. Merayu kedua-dua pihak mesti mengawal diri masing-masing,” kata Wakil Khas Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Yanghee Lee. – REUTERS